kepentingan kokurikulum di sekolah
Wednesday, 16 May 2012 | 07:07 | 0 comments
Kokurikulum di sekolah telah menjadi sebahagian daripada sistem pendidikan di Malaysia
ketika ini. Ianya telah menjadi satu kegiatan yang diwajibkan kepada setiap pelajar di semua
sekolah menengah dan sekolah rendah. Aktiviti kokurikulum dianggap penting sebagai alat
untuk memenuhi hasrat unggul dasar pendidikan kebangsaan, iaitu perpaduan di kalangan
pelajar-pelajar yang terdiri dari berbilang kaum. Laporan Jawatankuasa Kabinet (1979) telah
menyatakan bahawa semua pelajar hendaklah digalakkan supaya mengambil bahagian yang
lebih aktif dalam aktiviti kokurikulum. Setiap pelajar perlu menyertai satu badan beruniform,
satu sukan atau permainan dan satu kelab atau persatuan di sekolah.
Antara tujuan aktiviti kokurikulum diadakan di sekolah ialah untuk memberi
pengalaman kepada pelajar-pelajar yang akan membantu mereka dalam mencapai kehidupan
yang sempurna. Menurut Falsafah Pendidikan Negara dalam usaha melahirkan pelajarpelajar yang seimbang dalam aspek rohani, jasmani dan intelek, kokurikulum dapat
menyumbang untuk melahirkan pelajar yang seimbang dari semua segi tersebut. Menurut
Mohd Sofian, Aminuddin & Borhan (2002) kokurikulum merupakan suatu pelengkap
kepada kehendak dan keperluan kurikulum di mana ia menyediakan pelbagai peluang kepada
pelajar untuk menambah, mengukur dan mengamalkan kemahiran, pengetahuan dan nilainilai yang telah dipelajari semasa pembelajaran di bilik darjah.
Kajian ini akan melihat sejauh manakah faktor-faktor yang menghalang dan
mempengaruhi penglibatan mereka dalam aktiviti kokurikulum. Selaras dengan dasar
Kementerian Pendidikan yang memberi penekanan kepada pelajar-pelajar terutama mereka
yang ingin melanjutkan pelajaran ke universiti. Akademik akan diberi keutamaan dan ianya
selaras dengan sistem meritrokrasi bagi kemasukan ke Institut Pengajian Tinggi Awam. Di
dalam kajian ini penyelidik akan mengkaji kegiatan kokurikulum dan faktor yang
menghalang penglibatan pelajar untuk menyertainya. Menurut Crawford dan Godbey (1987)
terdapat tiga faktor yang menghalang penglibatan iaitu : 6
1) Faktor struktur ialah faktor-faktor seperti kekurangan kemudahan,
peralatan, masa, wang dan maklumat.
2) Faktor interpersonal ialah faktor-faktor yang melibatkan interaksi atau
hubungan antara individu seperti kesulitan mencari pasangan yang sesuai
untuk bermain dalam sukan badminton.
3) Faktor intrapersonal ialah faktor melibatkan keadaan psikologi individu
yang bertindak menghalang penglibatan aktiviti bersukan. Ini termasuklah
tekanan, kebimbangan, budaya, sikap, keagamaan, serta kemampuan dan
kemahiran diri yang dimiliki.
Kegiatan kokurikulum ialah aktiviti-aktiviti yang melibatkan kegiatan sukan,
persatuan/kelab yang berkaitan dengan matapelajaran dan kebudayaan, dan pasukan badan
beruniform. Kegiatan sukan yang dimaksudkan seperti bola sepak, ragbi, renang, bola
tampar, memanah, tenpin boling, golf dan sebagainya. Kegiatan kelab/persatuan ialah Kelab
Usahawan, Kelab Bimbingan dan Kaunseling, Persatuan Sains dan Matematik, Persatuan
Bahasa Cina dan sebagainya. Badan Beruniform pula ialah Kadet Tentera, Kadet Bomba,
Kadet Polis, Pengakap, Persatuan Bulan Sabit Merah dan sebagainya..
Dalam kajian ini pengkaji akan memberikan penekanan kepada kokurikulum yang
melibatkan kegiatan sukan. Model konsep yang digunakan oleh Crawford dan Godbey
(1997) digunakan untuk menjelaskan mengapakah pelajar-pelajar kurang melibatkan diri
dalam aktiviti kokurikulum khususnya dalam aktiviti sukan.
Oleh yang demikian kajian ini dijalankan kerana tiada lagi penyelidik yang membuat
kajian ke atas pelajar-pelajar yang berkaitan dengan penglibatan mereka dalam kokurikulum
khususnya aktiviti sukan di Sekolah Menengah Kebangsaan di Daerah Seremban. 7
PERNYATAAN MASALAH
Dalam kajian ini pemasalahan yang hendak ditimbulkan ialah mengenalpasti faktor utama
sebab-sebab yang diberikan oleh pelajar untuk tidak melibatkan diri dalam kegiatan
kokurikulum di Sekolah Menengah Kebangsaan di Daerah Seremban.
Kajian ini akan menyentuh tentang masalah yang melibatkan kurangnya penglibatan
pelajar dalam kegiatan kokurikulum khususnya sukan. Ramai pelajar beranggapan kegiatan
kokurikulum tidak penting dan banyak membuang masa kerana ianya tidak dinilai
sebagaimana kegiatan yang melibatkan akademik. Halangan penglibatan pelajar dalam
kegiatan kokurikulum dibebankan lagi dengan pengendalian program- program yang tidak
sempurna. Sebagai contoh terdapat aktiviti pada hari kokurikulum hanya dikendalikan oleh
kumpulan pelajar yang sememangnya kurang berpengalaman tanpa pemantauan dari guru
terlibat. Kesannya pelajar sekolah tidak berminat untuk melibatkan diri. Menurut Adnan
(1990) walaupun sumbangan kokurikulum kepada pendidikan diakui, tetapi konsepnya masih
kurang difahami hingga ada yang masih lagi menganggap bahawa kokurikulum sebagai
kegiatan luar. Oleh itu, tidak menghairankan jika programnya dilaksanakan secara sambil
lewa sahaja dan aktiviti dijalankan secara tergesa-gesa dan tidak diberi keutamaan seperti
matapelajaran akademik.
Dapatan Adnan (1990) disokong oleh Abu Bakar (1999). Dapatan kajian beliau
menyatakan antara alasan guru tidak bergiat dalam aktiviti kokurikulum ialah apabila guru
merasakan kokurikulum membuang masa pelajar, guru tinggal jauh dari sekolah, dan terlalu
banyak tanggungjawab. Kedapatan juga guru yang mengendalikan kegiatan kokurikulum
kurang pengetahuan dan kemahiran dalam bidang yang telah ditetapkan oleh pihak sekolah.
Perlaksanaan kokurikulum di sekolah tidak begitu mengalakkan atau tidak mendapat sepenuh
sokongan daripada pelbagai pihak terutamanya guru hingga mengakibatkan pelajar kurang
berminat untuk mengambil bahagian. Kenyataan ini disokong oleh Laporan Kabinet (1979)
yang telah membuat kajian untuk melihat pelaksanaan dasar pelajar meyakini bahawa
kecenderungan guru terhadap sesetengah aktiviti kokurikulum seperti pergerakan beruniform
dan beberapa jenis aktiviti sukan adalah tidak memberangsangkan. 8
Sementara itu, menurut Ahmad Badawi (1984), dewasa ini pelajar terlalu
mementingkan peperiksaan hinggakan kegiatan kokurikulum yang juga sebahagian daripada
pembelajaran tidak mendapat perhatian. Mereka tidak mahu melibatkan diri dalam kegiatan
kokurikulum. Kajian beliau disokong oleh Lim Yen Yen (1991) yang mendapati faktor
utama kurangnya penglibatan pelajar dalam aktiviti kokurikulum khususnya aktiviti sukan
kerana mereka tidak mempunyai semangat kesukanan. Mereka juga menganggap sukan
kurang penting dan lebih menganggap pelajaran atau hiburan adalah lebih penting untuk
menjamin masa depan yang lebih cemerlang. Kebanyakan pelajar tidak berminat menyertai
kegiatan kokurikulum khususnya aktiviti sukan kerana tiada wujud kepuasan disebabkan
kurangnya kemudahan sukan, peralatan sukan dan sebagainya. Selain daripada itu, terdapat
beberapa faktor lain antaranya seperti yang dinyatakan oleh Mohd Suzli (1987) dalam
kajiannya. Kajian beliau mendapati sekolah yang dikaji menghadapi masalah kewangan yang
tidak mencukupi dan sistem penjadualan yang tidak teratur dan sistematik.
Penyertaan pelajar dalam kegiatan kokurikulum dimestikan kepada pelajar lelaki dan
pelajar perempuan di semua sekolah. Ini memberi peluang kepada pelajar tersebut untuk
melibatkan diri dan menimba pengetahuan melalui kegiatan kokurikulum. Walau
bagaimanapun pelbagai faktor boleh menghalang penglibatan kegiatan kokurikulum pelajar
lelaki dan perempuan terutamanya sukan. Kenyataan ini disokong oleh kajian yang dilakukan
oleh Mohd Suzli (1997) menyatakan pelajar tidak melibatkan diri kerana mereka terpaksa
menolong ibu bapa mereka di rumah. Oleh itu kajian ini juga bertujuan melihat adakah
terdapat perbezaan antara faktor penghalang penglibatan yang diberikan oleh mereka ini
berdasarkan jantina.
Pelajar-pelajar di sekolah menengah terdiri daripada pelbagai bangsa. Pelajar-pelajar
ini terdiri daripada bangsa Melayu, Cina dan India. Kebanyakan pelajar-pelajar ini datang
dari kawasan-kawasan penempatan yang berlainan. Ada yang tinggal di bandar Seremban, di
taman-taman perumahan sekitar Seremban dan di kawasan luar bandar. Mereka ini
menganut agama Islam, Buddha, Hindu dan sebagainya. Kebanyakan mereka ini mempunyai
alasan dan sebab tersendiri menghalang mereka melibatkan diri dalam kegiatan kokurikulum
sukan. Pengkaji mendapati belum ada kajian mengenal pasti faktor-faktor penghalang 9
penglibatan pelajar ini dalam kegiatan kokurikulum sukan di lakukan oleh penyelidik
terdahulu. Oleh itu kajian untuk mengenalpasti faktor utama yang menghalang penglibatan
kokurikulum pelajar-pelajar dari pelbagai bangsa perlu dilakukan.
Pelbagai perancangan telah dilakukan samada dari pihak Kementerian Pelajaran
melalui Jabatan Pelajaran Negeri di bawah Unit Kokurikulum telah menyediakan peruntukan
untuk memastikan kegiatan kokurikulum di sekolah-sekolah dijalankan menurut kehendak
dan Falsafah Pendidikan Negara. Tujuan peruntukan diberikan untuk menjamin peralatan dan
kemudahan disediakan untuk pelajar menjalankan kegiatan mereka. Ramai di kalangan guru
dihantar berkursus untuk mempertingkatkan ilmu dan mampu memberi tunjuk ajar kepada
pelajar di sekolah mereka. Tetapi agak malang dewasa ini ramai di kalangan pelajar yang
tidak hadir semasa kegiatan kokurikulum dijalankan. Oleh itu kajian ini perlu dilakukan
untuk mengenal pasti masalah utama pelajar tidak hadir semasa kegiatan kokurikulum.
Labels: noor aimi